5 Tips Yang Akan Menjadikan Makanan Anda Lebih Terserlah

Hari ini, fotografi makanan sangat popular. Dunia digital dipenuhi dengan jutaan gambar makanan, dan media sosial seperti Pinterest dan Instagram dibanjiri dengan gambar makanan pada setiap detik. Oleh itu, usaha menghasilkan imej makanan yang paling menonjol dan menarik perhatian dalam limpahan gambar-gambar yang ada bukanlah sesuatu yang mudah. Di sini, disenaraikan 5 tips agar gambar makanan anda terserlah.
#1 Jangan takut dengan bayang-bayang

Hadirnya bayang-bayang menjadikan suasana kelihatan realistik, membentuk tekstur makanan, dan mencetuskan mood tertentu, maka biarkan ia menjadi sebahagian dari gambar makanan anda. Bagi mendapatkan bayangan gelap yang cantik, cahaya hendaklah dijatuhkan ke makanan anda sama ada dari belakang ataupun sisi pada sudut yang agak rendah; hampir sama aras dengan permukaan set. Berhati-hatilah menggunakan reflektor, itu pun jika perlu. Reflektor akan memantulkan cahaya ke bahagian yang tidak dapat diterangi dengan sumber cahaya utama. Ia akan membuatkan kawasan terlindung menjadi terang. Oleh itu, untuk mendapatkan bayang-bayang yang gelap, jangan pantulkan cahaya anda. Dalam penghasilan gambar cendawan di atas, cahaya diarahkan dari belakang pada sudut yang rendah dan tiada reflektor digunakan.
#2 Tunjukan aksi anda

Aksi atau perlakuan dalam gambar akan membuatkan pembaca anda terasa seolah-oleh mereka adalah sebahagian dari babak yang dipaparkan. Perbuatan tersebut boleh jadi secara tersurat seperti tangan yang sedang memegang makanan atau menuang sirap ke atas lempeng. Namun begitu, ada cara lain (yang lebih mudah) untuk anda tunjukkan bahawa sesuatu sedang berlaku dalam gambar anda. Contohnya sebiji gelas yang baru dituang dengan air berkabonat. Semua orang tahu bahawa air berkabonat akan berbuih bila dituang dan buih tersebut tidak kekal lama. Oleh itu, buih tersebut menunjukkan bahawa air berkabonat dalam gelas itu baru dituang oleh seseorang..
#3 Halakan lensa anda ke atas bagi makanan yang tinggi dan bertindih

Mengambil gambar dari kedudukan yang lebih rendah dari aras makanan adalah sesuatu yang tidak biasa dilakukan dalam fotografi makanan. Namun begitu, ia akan menghasilkan imej yang menarik bagi makanan-makanan yang “tinggi” seperti kek, dan makanan yang bertindih seperti dalam contoh ini; burger. Makanan tersebut akan kelihatan besar dan gah. Walaubagaimanapun, harus diingat bahawa teknik ini tidak sesuai bagi makanan yang leper. Jadi, jangan mengambil gambar lempeng dengan kaedah ini!
#4 Wujudkan kontras visual

Terdapat banyak jenis kontras (contrast) dan ia membantu makanan anda kelihatan lebih menarik. Anda boleh menghasilkan kontras dengan memasukkan bentuk-bentuk yang berbeza ke dalam gambar. Contohnya, bulat digabung dengan segiempat. Satu lagi contoh kontras adalah dengan menggabungkan warna-warna dari sisi berlawanan dalam roda warna, seperti merah dan hijau, atau biru dengan jingga. Seperti gambar di atas misalnya, sudu kaca digabungkan dengan tampi buluh. Selain itu, daun salad yang hijau diletakkan bersama tomato yang merah membangkitkan lagi gambaran keenakan ikan bakar tersebut
#5 Biarkan sahaja ruang itu

Anda tidak perlu berasa terbeban untuk memenuhkan setiap ruang yang ada dengan makanan atau prop. Sedikit ruang (yang kosong) sebenarnya memberi “kebebasan” kepada makanan anda dan orang yang melihatnya juga akan berasa lapang. Tiada aturan atau hukum bagi menentukan di manakah ruang ini perlu diwujudkan, namun begitu, hukum tigaan (rule of thirds) boleh dijadikan panduan. Bayangkan gambar anda dibahagi kepada tiga bahagian; melintang dan menegak. Letakkan makanan anda pada satu daripada empat garisan yang bersilang. Biarkan ruang selainnya kosong dan cuba rakam gambar tersebut. Adakah ia kelihatan bagus atau terlalu lapang? Sekiranya ia kelihatan seperti kehilangan sesuatu atau “kesunyian”, tambah satu atau dua elemen ke dalam ruang paparan anda. Lakukan sehingga anda berpuashati dengan imej yang diperolehi. Itulah yang saya lakukan untuk menghasilkan gambar di bawah.
SELAMAT MENCUBA!!
SUMBER ARTIKEL: http://digital-photography-school.com/
SUMBER FOTO-FOTO: AZHARIYUSOF PHOTOGRAPHY