Tips mengambil gambar makanan
Tahukah anda bahawa selepas gambar kanak-kanak dan haiwan peliharaan, gambar makanan adalah yang ketiga terbanyak didapati di media sosial, sama ada instagram mahupun facebook. Dengan persaingan yang sengit antara kafe-kafe dan restoren-restoran, tidak ketinggalan gerai-gerai dan “food truck”; kita dilimpahi dengan ribuan jenis makanan yang dihidangkan dengan pelbagai gaya. Semestinya bila berkongsi di media-media sosial, kita mahukan gambar yang cantik dan banyak “like”.. kan? Jadi, di sini, disenaraikan 5 tips penting apabila mengambil gambar makanan supaya yang melihat akan terliur.
#1 Cahaya, cahaya, cahaya

Cahaya adalah kunci untuk menghasilkan gambar yang kelihatan “hidup”. Sentiasa ambil gambar makanan anda di siang hari dan di bawah cahaya semulajadi berbanding di bawah pencahayaan buatan. Pencahayaan yang baik akan menyerlahkan makanan anda. Jika anda berada di kafe bertutup, dapatkan tempat berhampiran tingkap supaya anda boleh menggunakan cahaya semulajadi (natural light). Penggunaan sumber cahaya lain akan mencacatkan warna makanan anda kerana kebiasaannya, lampu adalah berwarna jingga kekuningan. Kita tentunya tidak mahu nasi, pinggan putih, mahupun lapik meja kita yang berwarna putih itu kelihatan kejinggaan.
#2 Kekalkan kesederhanaan

Tidak perlu berlebih-lebih untuk mendapatkan gambar yang menarik. Jauhkan objek-objek dan perkakasan yang tidak berkenaan dan tidak perlu. Memuatkan semua barang-barang yang ada di atas meja ke dalam gambar akan mengganggu fokus yang patut diberi kepada hanya satu pinggan makanan. Sekiranya makanan yang dimasak tidak menarik, tunjukkan hanya sebahagian daripadanya. Sup cendawan atau roti misalnya, tidak nampak merangsang secara visual tetapi jika anda perlu melakukan sesuatu dengannya, dapatkan prop yang kreatif bagi membuat imej anda lebih menarik, seperti menambah elemen yang berwarna-warni, seperti pinggan/bekas yang berwarna terang, tuala, gelas dan hiasan lain.dan ingat, apabila ragu-ragu ikuti peraturan "less is more".
#3 Cuba pelbagai sudut pandangan

Apabila mengambil gambar makanan, sentiasa fikirkan tentang sudut mana yang sesuai untuk “shoot”. Mengambil gambar dari atas sering menjadi pilihan yang terbaik, terutama apabila makanan disusun di atas pinggan atau mangkuk. Ia juga membolehkan anda memasukkan kesemua butiran makanan dan latar belakang, dan ia menekankan bentuk yang berani dari pinggan mangkuk, alat makan dan benda lain di atas meja berkenaan. Namun begitu, hidangan yang berbeza kelihatan menarik dari sudut yang berbeza. Gambar burger adalah kelihatan terbaik dari sisi, jadi anda dapat melihat “patty” yang tebal dan menyelerakan. Kebanyakan hidangan mempunyai sudut yang tidak menentu, jadi lebih banyak percubaan anda, lebih baik peluang anda untuk mendapatkan sudut pandang yang cantik.
#4 Tambahkan elemen kemanusiaan

Menambah elemen manusia untuk foto makanan anda adalah satu lagi teknik yang anda boleh gunakan untuk memberitahu cerita yang lebih menarik dan unik. Tangan atau lengan adalah yang biasa digunakan dan ia membantu untuk mewujudkan rasa kehadiran untuk penonton kerana seolah-olah foto itu telah ditangkap dari sudut pandangan mereka. Dengan adanya tangan yang seolah-olah sedang mengaduk periuk atau memegang pinggan dapat menunjukkan skala dan menambah elemen manusia. Perkara ini sering menjadikan momen tersebut lebih menarik dan nyata kepada penonton. Mintalah bantuan kawan anda untuk menjadikan foto makanan anda lebih “hidup”. Foto dengan tangan yang sedang menuang sirap maple atau koktail biasanya lebih menarik daripada hidangan yang tidak bermaya yang duduk kaku di atas meja.
#5 Kebersihan adalah paling utama

Perkara asas ini tidak perlu diperkatakan lagi. Namun begitu, ia harus diperingatkan kerana selera akan tertutup bila meja makan seperti medan perang dan makanan bersepah seperti baru lepas episod gempa bumi di dalam periuk. Tiada yang lebih merosakkan dari foto makanan seperti cebisan-cebisan sisa atau kekotoran yang berselerak di atas meja. Kecuali jika anda sengaja mewujudkan suasana demikian untuk menggambarkan pastri yang setengah dimakan atau adegan kesibukan di dapur. Namun begitu, pastikan segala-galanya dalam kelihatan elok dan kemas.Bagi mendapatkan gambar yang cantik, pinggan alat yang memegang makanan itu mestilah 100% bersih dan tidak cacat. Kebanyakan makanan perlu di “shoot” dari jarak dekat, oleh itu sebarang ketidaksempurnaan akan muncul dan kelihatan seperti hidangan itu tidak kemas atau tidak lengkap. Jadi, sentiasalah mengatur makanan anda dengan cara yang kemas atau unik bagi menimbulkan visual yang indah dan seimbang.
Article by Cik Seri (seridewi@live.com)
Photos by AZHARIYUSOF PHOTOGRAPHY
Semua gambar-gambar di atas dirakam menggunakan kamera dslr dan sumber cahaya semulajadi (cahaya matahari).